Sunday, February 1, 2009

SALINAN SURAT ADUAN PROTES PENGGUNAAN BURUH KANAK-KANAK*

Menteri Besar Kedah
Yang Dipertua Majlis Agama Negeri Kedah 16 June 2008


Tuan,

Adalah saya merujuk kepada kanak-kanak yang ditempatkan di Pusat Tahfiz Amal, km 17 Jalan Yan Kuala Kedah, Kangkong, 06600 Kuala Kedah, Alor Setar. (Tel: 04-7647640) yang dibiarkan keluar berniaga barangan yang disediakan oleh pusat. Aduan saya juga meliputi pusat seumpamanya yang membiarkan perkara yang sama kepada anak-anak di bawah jagaan pusat mereka yang dibiarkan berkeliaran berniaga di seluruh negara.

Saya meragui adakah aktiviti mereka ini yang menggunakan kanak-kanak bawah umur 16 tahun adalah sah dari segi undang-undang Malaysia, undang-undang buruh antarabangsa, atau mana-mana undang-undang syariah. Sebagai kerajaan yang dinaikkan kerana aspirasi Islam sepenuhnya, saya mengharapkan isu ini diberi perhatian serius terutama kesahan aktiviti mereka dengan undang-undang syariah atau undang-undang buruh antarabangsa.

Aktiviti mereka diluar pusat pada pendapat saya telah melangkaui fitrah mereka sebagai kanak-kanak yang patut dibesarkan secara normal (bersekolah, bergaul dengan rakan sebaya, bermain, berekreasi, dan sebagainya). Namun aktiviti mereka telah melangkaui fitrah tumbesaran mereka dengan dibebani tanggungjawab mencari kewangan untuk institut (ini satu bentuk penindasan yang dilarang dalam Islam), keterdedahan mereka kepada bahaya penculikan sendiket perdagangan kanak-kanak (boleh dikaitkan dengan kehilangan ramai kanak-kanak ketika ini), bahaya alam sekitar (kilat, guruh, taufan, tsunami, dsb), serta masalah kemalangan, sesat, dan sebagainya dan pada saya tidak munasabah untuk ditanggung risikonya oleh kanak-kanak seusia sekolah rendah. Sepatutnya pada usia ini tempat mereka adalah dibangku sekolah mengulangkaji pelajaranm atau menghafal Al Quran dan hadis seperti asalnya nama pusat ini sebagai pusat tahfiz. Dengan banyak masa di luar dan berniaga, waktu bilakah mereka akan mengulangkaji dan menghafal? Sungguh kontradik situasi sebenar yang dilalui oleh mereka dengan label pusat tahfiz yang menaungi mereka.

Saya telah menemuramah mereka dan mendapat jawapan yang kurang memuaskan hati. Pada saya, mereka ini telah di'brainwash' dengan jawapan-jawapan yang hanya orang dewasa sahaja boleh berfikir begitu seperti "buat benda baik, Allah tolong","mengikut sunnah Rasulullah" dan seumpamanya. Saya tidak pernah terbaca di dalam sirah nabawiyah, Rasulullah menghantar anak-anaknya keluar berniaga bersendirian. Hanya sirah mencatatkan Rasulullah ada dibawa berniaga oleh bapanya Abdullah hingga ke Syam dan seumpamanya, bukan keluar berniaga bersendirian atau berdua seperti kanak-kanak ini tanpa iringan orang dewasa.Apabila ditanyakan, adakah mereka tahu aktiviti ini mungkin menyalahi undang-undang, mereka mengatakan bahawa mereka telah memenangi kes yang seumpamanya dan didapati tidak bersalah. Saya berasa sungguh ragu-ragu dengan kenyataan ini.

Saya juga berasa tersinggung dengan fenomena ini dan berasa terhina dengan amalan Islam yang menyimpang dari fitrah dan situasi pendidikan kanak-kanak di Malaysia. Mereka diasak dengan ideologi taat membuta tuli dan ibu bapa mereka juga tidak mempunyai fikiran kritikal untuk menimbangkan aktiviti ini sebaik-baiknya dan mereka telah dimanipulasi atas nama 'mengikut sunnah Rasulullah'.

Saya harap kerajaan negeri, terutamanya MB akan mengambil berat akan perkara ini sekaligus memastikan adakah pusat ini benar-benar dioperasikan seperti layaknya sebuah pusat tahfiz atau pusat pendidikan. Fenomena ini hanya berlaku kebelakangan ini dan jelas ia bukan warisan jenis pendidikan yang diwarisi dari operasi pondok-pondok agama terkenal di seluruh negara.

Saya berpendapat ia adalah satu bentuk eksploitasi kanak-kanak yang menyalahi undang-undang buruh antarabangsa yang tidak membenarkan kanak-kanak di bawah usia 16 tahun bekerja. Saya berasa benar-benar terhina dengan fenomena ini, hidup dalam negeri dan negara yang aman tetapi berlakunya penindasan kanak-kanak secara meluas.

Sekian, terima kasih.

*Surat ini tidak dapat dihantar online kerana masalah IT di pejabat MB pada tahun tersebut. Surat ini ditulis spontan di sebuah kedai makan selepas menemuramah kanak-kanak tahfiz yang berkenaan kerana penulis sakit hati dengan Majlis-majlis Agama yang tidak memantau kegiatan penyelewengan oleh pusat tahfiz ini. Penulis menentang keras sebarang bentuk penganiayaan terhadap kanak-kanak. Walau bagaimanapun, penulis ada menforwardkan surat ini ke Utusan Malaysia dan ada meminta seorang wartawan akhbar lain menghiglight hal ini. Selepas setahun menanti, penulis bersyukur melihat Al-Islam dan Mastika mula memberi perhatian (lihat isu Feb 2009).

No comments: